MADINAH: Selesa, dekat dengan Masjid Nabawi dan mesra Orang Kelainan Upaya (OKU) 

Ia antara ciri-ciri tempat penginapan diuruskan oleh Lembaga Tabung Haji (TH) untuk jemaah haji Malaysia yang berkunjung ke Madinah semasa musim haji tahun ini.

Untuk tujuan itu, tiga hotel dipilih iaitu Anwar Movenpick, Saja Al-Madinah serta Emmar Royal.

Pengurus Zon Madinah, Imran Mohammad Khayat berkata, ketiga-tiga hotel itu dilengkapi dengan pelbagai kemudahan dan pemandangan ke Masjid Nabawi.

"Ia bakal menjadi tempat penginapan jemaah haji Malaysia di Madinah. Hotel-hotel itu terletak antara 50 hingga 200 meter dari Masjid Nabawi," ujarnya kepada pemberita dalam satu temu bual di sini.

Imran Mohammad Khayat

Menurut beliau, hotel yang dipilih juga, sebagai contoh, Emmar Royal adalah mesra OKU dengan terdapat pelbagai kemudahan disediakan kepada golongan itu serta kerusi roda untuk warga emas, jika diperlukan bagi tujuan ke Masjid Nabawi.

Kata beliau, TH juga telah bersedia menyambut ketibaan kesemua jemaah terutama kumpulan pertama seramai lebih 200 orang yang bakal mendarat di Lapangan Terbang Putera Muhammad Bin Abdulaziz, Madinah pada pagi Khamis ini.

Imran berkata,  TH mengekalkan hotel-hotel berkenaan disebabkan kualiti dan jaraknya yang dekat dengan Masjid Nabawi, sekali gus memudahkan jemaah ulang-alik untuk beribadat di masjid berkenaan.

“Antara kemudahan yang disediakan termasuk perkhidmatan bagasi, dobi, talian telefon dan kaunter khidmat pelanggan untuk membantu jemaah yang mempunyai masalah termasuk Pihtas (Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci).

“Selain itu, kita juga ada doktor yang bertugas, khidmat kaunseling bagi menenangkan emosi jemaah yang tidak stabil kerana berjauhan dengan keluarga, merindui kampung halaman dan jika berlaku perselisihan faham,” katanya.

Ditanya mengenai pelan tindakan kecemasan jika sebarang kejadian berlaku di tempat penginapan jemaah, Imran berkata, mereka akan bertindak berdasarkan Pelan Pengurusan Bencana selain terdapat pasukan kecemasan yang bertanggungjawab memastikan keadaan terkawal.

Beliau turut memaklumkan, jemaah haji Malaysia akan tinggal bersama-sama jemaah dari negara lain di salah satu daripada tiga hotel tersebut.

Sementara itu katanya, pelbagai program disusun untuk jemaah yang berada di Madinah selama enam hari lima malam seperti taklimat, menziarahi makam Nabi SAW, memasuki raudah dan melawat tempat bersejarah atau ziarah luar.